Thursday, December 2, 2010

Hadis2 maudhu' (palsu)

Penyusun: Mohd Hairi Nonchi (Cikgu Arie)

Sumber: Mari Mengenal 50 Hadith Maudhu' & Dha'if Yang Masyhur Di
Malaysia (masih dalam proses penulisan).



Berikut saya kemukakan 8 contoh hadith maudhu' dan dha'if yang masyhur
disebar dan diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Islam di
Malaysia. Semoga bermanfaat.



HADITH 1:  SOLAT TIANG AGAMA

الصَّلاَةُ عِمَادُالدِّيْنِ، فَمَنْ أَقَامَهَا فَقَدْ أَقَامَ
الدِّيْنَ، وَمَنْ هَدَمَهَا فَقَدْ هَدَمَ الدِّيْنَ.

Solat itu adalah tiang agama, maka barangsiapa yang  mendirikannya
sesungguhnya dia menegakkan agamanya, dan barangsiapa yang
merubuhkannya, maka sesungguhnya dia telah merubuhkan agama.

Penjelasan:
Hadis ini adalah dha’if. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari jalan Umar
bin al-Khattab r.a. Punca kedha'ifan hadis ini adalah terletak pada
rawinya yang bernama Ikramah. Beliau dikatakan telah menerima hadis
ini daripada Umar al-Khattab r.a, padahal beliau tidak pernah
mendengar hadis ini daripada Umar al-Khattab r.a. Oleh itu, sanad
hadis ini adalah munqathi (terputus).

Berkata Imam al-Hakim: “Ikrimah tidak bertemu dengan ‘Umar. Demikian
juga keterangan yang terdapat dalam Takhrij Ihya’ oleh Imam
al-‘Iraqi.” Berkata al-Aljuni dalam Kasyful Khofa: “Berkata Imam
al-Sakhawi dalam al-Maqasid: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi
dengan sanad lemah dari Ikrimah dari ‘Umar secara marfu’.” Imam
al-Nawawi berkata: "Hadis (ini) mungkar, batil!"

Ada pun hadis sahih yang hampir 'senada' dengan hadis ini adalah
seperti berikut:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الأَمْرِكُلِّهِ وَعَمُودِهِ وَذِرْةِ
سَنَامِهِ؟ قُلْتُ: بَلَى يَارَسُولَ الله. قَالَ: رَأْسُ الأَمْرِ
الإِسْلاَمُ، وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ.

Hendakkah aku khabarkan kepada engkau segala urusan, tiangnya dan
puncak ketinggiannya? Saya (Mu’adz) berkata: Pasti sahaja wahai
Rasulullah! Jawab Rasulullah: Kepala urusan adalah Islam, tiangnya
adalah solat dan puncak ketinggiannya adalah jihad. – Hadith riwayat
Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan al-Thabrani
bersumberkan daripada Mu'az bin Jabal r.a. Dishahihkan oleh Syeikh
al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi (no. 2616).




HADITH 2: KHUSYUK DALAM SOLAT

لَوْ خَشَعَ قَلْبُ هَذَا خَشَعَتْ جَوَارِحُهُ.

Seandainya hati orang ini khusyuk nescaya akan khusyuk juga anggota badannya.

Penjelasan:
Hadis ini maudhu’ (palsu). Diriwayatkan al-Baihaqi dalam Sunan
al-Baihaqi (2/285). Diriwayatkan juga oleh al-Hakim, al-Tirmidzi dalam
Nawadirul Ushul dari jalan Soleh bin Muhammad dari Sulaiman bin Amr
dari Ibn ‘Ajlan dari Maqbari dari Abu Hurairah berkata: “Rasulullah
melihat seseorang yang bermain-main dengan janggutnya saat
(mengerjakan) solat), maka Rasulullah bersabda dengan lafaz di atas.”

Sumber kecacatan hadis ini kerana pada sanadnya terdapat seorang rawi
yang bernama Sulaiman bin Amr, dia itu orang yang disepakati atas
kelemahannya, bahkan berkata Ibn ‘Adi: “Para ulamak sepakat bahawa dia
itu memalsukan hadis.” Apa yang benar bahawa hadis ini adalah ucapan
Sa’id bin Musayyib.



HADITH 3: SOLAT MENCEGAH KEMUNGKARAN

مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلاَتُهُ عَنِ اْلفَحْشَاءِ وَ الْمُنْكَرِ لَمْ
يَزْدَدْ مِنَ اللهِ إِلاَّ بُعْدًا.

Barangsiapa yang solatnya tidak dapat mencegahnya dari perbuatan keji
dan mungkar maka tidak akan bertambah kecuali semakin jauh dengan
ALLAH.

Penjelasan:
Hadis ini adalah batil. Diriwayatkan oleh al-Thabrani dalam Mu’jam
al-Kabir (3/106), al-Qudha’i dalam Musnad Syihab (2/43), Ibn Abi Hatim
dari jalan Laits bin Abi Salim dari Thawus dari Ibn Abas secara
marfu’. Sisi cacat hadis ini adalah Laits bin Abi Salim. Berkata
al-Hafiz Ibn Hajar: “Shaduq namun dia mukhtalith pada akhir hayatnya
sehingga hadithnya ditinggalkan.” Apa yang benar hadis ini adalah
ucapan Ibn Mas’ud dan Hasan al-Bashri. Dilihat dari sudut yang lain,
hadis ini juga lemah dari sisi matannya. Berkata Syeikh al-Albani
dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah (no.2):

“Di samping itu matannya pun tidak shahih sebab zahirnya mencakup
siapa sahaja yang mendirikan solat dengan memenuhi syarat rukunnya.
Padahal syarak tetap menghukuminya sebagai yang benar atau sah,
sekalipun pelaku solat tersebut suka melakukan perbuatan yang bersifat
maksiat. Jadi tidaklah benar apabila dengannya (yakni solat yang
benar) justeru akan menjauhkan pelakunya dari ALLAH SWT. Ini sesuatu
yang tidak masuk akal dan tidak pula dibenarkan dalam syariat.

Kerana itu, Ibn Taimiyyah menakwilkan kata-kata “tidak menambahnya
kecuali jauh dari ALLAH” jika yang ditinggalkannya itu merupakan
kewajipan yang lebih agung dari yang dilakukannya. Dan ini bererti
pelaku solat tadi meninggalkan sesuatu sehingga solatnya tidak sah,
seperti rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Kemudian, kelihatannya
bukanlah solat yang demikian (yakni yang sah dan benar menurut syarak)
yang dimaksud dalam hadith mauquf tadi. Dengan demikian jelaslah
bahawa hadith tersebut dha’if, baik dari segi sanad mahupun matannya.
Wallahua’lam.”



HADITH 4: DOA QUNUT SUBUH TERUS-MENERUS

Anas bin Malik meriwayatkan:

مَازَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَآلهِ وَسلَّمَ يَقْنُتُ
فِيْ صَلاَةِ الْغَدَاةِ حَتىَّ فَارَقَ الدُّنْيَا.

Terus-menerus Rasulullah s.a.w (mengerjakan) qunut pada solat Subuh
sampai baginda meninggalkan dunia.

Penjelasan:

Hadis ini adalah munkar. Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah (no.7002),
‘Abdurrazaq dalam al-Mushonnaf (3/110), Ahmad (3/162), al-Thahawi
dalam Syarah Ma’ani al-Atsar (1/244), Ibn Syahin dalam Hasikh
al-Hadith wa Mansukhih (no.220), al-Hakim dalam kitab al-Arba’in
sebagaimana dalam Nashbur Rayah (2/132), al-Baihaqi (2/201) dan dalam
as-Shugra (1/273), al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah (3/124-124),
al-Daruquthni dalam Sunannya (2/39), al-Maqdasi dalam al-Mukhtarah
(6/129-130), Ibn al-Jauzi dalam at-Tahqiq (no.689-690) dan dalam
al-‘Ilal al-Mutanahiyah (no. 753) dan al-Khatib al-Baghdadi dalam
Mudhih Auwan al-Jama’ wa at-Tafriq (2/255) dan dalam kitab al-Qunut
sebagaimana dalam at-Tahqiq 1/463. Semuanya berpangkal kepada jalan
Abu Ja’far ar-Razi dari ar-Rabi’ bin Anas dari Anas bin Malik secara
marfu'.

Muhammad bin ‘Ali al-Balkhi dan al-Hakim berpendapat bahawa hadith ini
adalah hadith yang sahih sebagaimana yang disebut di dalam Khulasah
al-Badrul Munir (1/127). Demikian juga pandangan ini turut
dipersetujui oleh al-Baihaqi. Walau bagaimanapun, pandangan para tokoh
ini terhadap kesahihan riwayat di atas telah pun ditolak oleh
sebahagian besar para ahli hadis yang lain.

Antara sebab penolakan para ulamak hadis ke atas kesahihan hadis di
atas adalah kerana di dalam sanadnya terdapat seorang rawi yang
bernama Abu Ja’far ar-Razi iaitu salah seorang rawi yang terkenal
sebagai lemah di dalam meriwayatkan hadis. Berikut dikemukakan
beberapa komentar oleh para ahli hadis terhadap Abu Ja’far ar-Razi:
Imam Ibn Turkumani, dia berkata di dalam al-Jauhar an-Naqy: Bagaimana
boleh sanadnya menjadi sahih sedang rawi yang meriwayatkannya dari
Rabi’ bin Anas adalah Abu Ja’far ‘Isa bin Mahan ar-Razi mutakallamun
fihi (dikritik).

Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, Zadul Ma’ad (1/276) setelah menukil
suatu keterangan dari gurunya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang
salah satu bentuk hadis munkar yang diriwayatkan oleh Abu Ja’far
al-Razi, beliau berkata: Dan yang dimaksudkan bahawa Abu Ja’far
al-Razi ialah orang yang memiliki hadis-hadis yang munkar, sama sekali
tidak boleh diguna berhujah oleh seorang pun para ahli hadis.
Periwayatan hadisnya yang ia bersendirian dengannya.

Syeikh al-Albani, dalam kitabnya Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa
al-Mauhdu’ah (no.1238) memetik komentar Ibn al-Turkama terhadap Abu
Ja’far dimana dia berkata: “Bagaimana sanadnya boleh dikatakan shahih,
sedangkan perawinya (al-Rabi’ – Abu Ja’far Isa bin Mahan al-Razi)
banyak dipermasalahkan dan menjadi buah bibir kalangan muhaddithin. Di
antaranya Imam Ahmad dan al-Nasa’i menyatakannya sebagai perawi yang
tidak kuat. Abu Zar’ah mengatakan banyak menyimpang di dalam
meriwayatkan (hadith). Al-Falas berkata: “Buruk hafalannya”. Ibn
Hibban menegaskan: “Terbukti telah meriwayatkan hadith-hadith munkar
yang dinisbahkan kepada para perawi kondang.”

Ringkasnya, sesiapa sahaja yang meneliti keterangan para ulamak hadis
tentang Abu Ja’far al-Razi ini akan mendapati bahawa kritikan terhadap
beliau adalah jarh mufassar (kritikan yang jelas menerangkan sebab
kelemahannya seorang rawi). Maka apa yang disimpulkan oleh Ibn Hajar
al-‘Asqalani dalam Taqrib Tahdzib adalah amat tepat. Beliau berkata:
Shadiqun sayyi’ul hifzh khususan ‘anil Mughirah (jujur tetapi buruk
hafalannya, terlebih lagi riwayatnya daripada Mughirah).

Dalam pada itu, hadis ini juga kelihatan bercanggah dengan hadis-hadis
lain yang sahih, di antaranya ialah sebagaimana riwayat Anas bin Malik
r.a berikut:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَآلهِ وَسلَّمَ كَانَ لاَ
يَقْنُتُ إِلاَّ إِذَا دَعَا لِقَوْمٍ أَوْ عَلَى قَوْمٍ.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak melakukan qunut kecuali apabila
beliau berdoa untuk (kebaikan) suatu kaum atau berdoa (keburukan atas
suatu kaum). - Hadith riwayat Ibn Khuzaimah (no.620) dan Ibn al-Jauzi
dalam at-Tahqiq (1/460), disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam
Silsilah al-Ahadith al-Shahihah (no. 639).

Juga hadis berikut:

قُلْتُ لأَبِيْ: يَاأََبَتِ إِنَّكَ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُوْلَ اللهِ
صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسلَّمَ وَأَبِيْ بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ
وَعَلِيْ هَهُنَا وَبِالْكُوْفَةِ خَمْسَ سِنِيِنَ فَكَانُوْا
يَقْنُتُوْنَ فِي الْفَجْرِ؟ فَقَالَ: أَيْ بُنَيَّ مُحْدَثٌٌ.

Saya bertanya kepada ayahku: Wahai ayahku, engkau solat di belakang
Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, ‘Umar, Utsman dan ‘Ali r.a di sini dan di
Kufah selama 5 tahun, apakah mereka melakukan qunut pada solat Subuh?”
Maka dia menjawab: Wahai anakku hal tersebut (qunut Subuh) adalah
perkara baru (bid’ah). – Hadith riwayat al-Tirmidzi (no.402),
al-Nasa’i (no.1080), Ibn Majah (no.1242), Ahmad 3/472 dan 6/394,
al-Thabrani (no.8177-8179), al-Baihaqi (2/213) dan lain-lain.
Disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil (no.435) dan Syeikh
Muqbil dalam al-Shahih al-Musnad Mimma Laisa Fi ash-Shahihain.

Lebih lanjut sila rujuk artikel Semua Hadis Tentang Qunut Subuh Terus
Menerus Adalah Lemah karya Yazid bin Abdul Qadir Jawas yang dimuatkan
di dalam Ar-Rasaail (Pustaka Abdullah, Jakarta, 2004).



HADITH 5:  QASHAR SOLAT APABILA MELEPASI 4 BARID ATAU 2 MARHALAH

يَااَهْلَ مَكَّةَ لاَ تُقْصِرُوْ الصَّلاَةَ فِيْ اَدْنىَ مِنْ
اَرْبَعَةِ بُرُدٍ مِنْ مَكَّةَ اِلىَ عَسْفَانْ.

Wahai penduduk Mekah, janganlah kamu sekalian mengqasarkan solat (bagi
jarak perjalanan) yang kurang  dari 4 barid  (2 marhalah)  iaitu dari
Mekah ke Asfan.

Penjelasan:

Hadis ini maudhu'. Diriwayatkan oleh al-Thabrani dalam Mu'jam al-Kabir
(1/112) dan al-Daruquthni dalam Sunan dengan sanad dari Ismail bin
Iyasy dari Abdul Wahab bin Mujahid dari ayahnya dari Atha' bin Abi
Rabah dari Ibn Abbas r.a. Syeikh al-Albani menjelaskan di dalam
kitabnya Silsilah al-Ahadith al-Dha'ifah wa al-Maudhu'ah (no.439):

“Menurut saya, riwayat ini adalah maudhu' (palsu) disebabkan adanya
Abdul Wahab bin Mujahid yang oleh Sufyan ats-Tsauri dinyatakan sebagai
pendusta. (Imam) al-Hakim berkata: “Abdul Wahab bin Mujahid terbukti
meriwayatkan hadis-hadis maudhu' (palsu). Ibn al-Jauzi berkata:
“Seluruh muhaddithin (ahli-ahli hadith) sepakat tidak menerima
riwayatnya. Adapun Isma'il bin Iyash adalah dha'if (lemah).
Wallahua'lam.”

Kenyataan Syeikh al-Albani di atas turut disokong oleh Imam
al-Syaukani dimana beliau menyebut di dalam kitabnya, Nail al-Authar
(3/481):

“Hadith ini tidak boleh dijadikan hujah kerana dalam sanadnya (jalur
perawi yang meriwayatkan hadith ini) terdapat Abdul Wahab bin Mujahid
bin Jubair, dia adalah matruk (tertolak). Imam al-Nawawi juga
menyatakan beliau adalah pendusta. Menurut al-Uzdy, riwayat ini tidak
sah darinya (iaitu Ibn Abbas r.a) kerana perawi yang meriwayat darinya
adalah Isma'il bin Iyasy dan dia adalah dha'if (lemah di kalangan
orang-orang Hijaz) dan Abdul Wahab tersebut adalah orang Hijaz. Yang
benar, hadith ini adalah mauquf (terhenti) pada Ibn Abbas, sebagaimana
yang ditakhrij oleh al-Syafie darinya dengan sanad yang shahih.”

Selain itu, hadith ini juga dilihat bercanggah dengan hadith-hadith
lain yang menerangkan baginda s.a.w dan para sahabat r.a tetap
meringkaskan (qashar) solat walaupun jarak perjalanan kurang daripada
4 barid atau 2 marhalah. Hadith-hadith berikut menjadi rujukan:

Anas bin Malik r.a meriwayatkan:

كَانَ رَ سُو لُ الله الله صَلَى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَرَخَ
مَسِيْرَةَ ثَلاَثَةِ أَمْيَالٍ أَوْ ثَلاَثَةِ فَرَاسِخَ شُعْبَةُ
الشَّاكُّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ.

Rasulullah s.a.w apabila keluar dalam satu perjalanan yang berjarak 3
mil atau 3 farsakh maka baginda bersolat hanya 2 rakaat (qasar). –
Hadith riwayat Muslim dalam Shahih Muslim  (no.691).

Jarak bagi satu 1 mil adalah bersamaan dengan 1, 748 meter. Oleh itu
jika 3 mil maka jaraknya ialah 5, 244 meter (sekitar 5 km lebih).
Manakala ukuran bagi 1 farsakh pula adalah bersamaan dengan 5, 541
meter.  Oleh itu jarak sebenar bagi 3 farsakh adalah bersamaan dengan
16, 623 meter (sekitar 16 km lebih). Dalam hadith yang lain, juga
riwayat daripada Anas bin Malik r.a, beliau berkata:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر بلمدينة أربعا وصلى العصر بذي
الحليفة ركعتين.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w solat Zuhur 4 rakaat di Madinah dan
bersolat Asar di Dzil Hulaifah 2 rakaat. –  Hadith riwayat Muslim
dalam Shahih Muslim  (no.690).

Sebagaimana yang kita ketahui jarak bagi perjalanan dari Madinah ke
Dzil Hulaifah adalah 7 mil iaitu bersamaan dengan antara 12 hingga 13
kilometer. Dengan ini maka jelaslah bahawa penetapan jarak 4 barid
atau 2 marhalah bagi membolehkan solat diringkaskan (qashar) adalah
bertolak belakang dengan al-Sunnah Rasulullah s.a.w. Untuk
perbincangan yang lebih mendalam berkaitan solat jamak dan qasar
menurut al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang shahih, sila rujuk buku
Sembahyang Jamak Dan Qasar Adalah Sedekah Allah karya saudara Mohd
Yaakub Mohd Yunus, terbitan Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru.



HADITH 6: DOA SEBELUM MAKAN

اللهم بارك لنا فيما رزقتنا, وقنا عذاب النار, باسمالله.

“Ya ALLAH, berkatilah bagi kami apa yang ENGKAU rezekikan kepada kami
dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Penjelasan:

Hadith ini dha’if jiddan (sangat lemah). Dikeluarkan oleh al-Thabrani
dalam ad-Du’a (no. 888), Ibn ‘Adi (6/2212) dan Ibn al-Sunni. Sanadnya
memiliki kecacatan yang amat parah kerana di dalamnya terdapat rawi
yang diperbincangkan oleh para ulama. Rawi tersebut ialah Hisyam bin
Ammar dan Ibn Sami’. Namun yang lebih parah dari itu ialah Ibn Abi
Zu’aizi’ah, dia seorang yang tertuduh berdusta dan hadisnya sangat
munkar. Oleh yang demikian hadith ini dianggap sebagai mungkar oleh
Ibn Adi, al-Dzahabi dan Ibn Hajar al-‘Asqalani. Selain itu hadith ini
dinilai sebagai dha’if jiddan oleh Syeikh 'Amr bin Ali Yasin dalam
semakannya ke atas Kitab al-Adzkar Li al-Nawawi (no. 674).

Apa yang sahih berkenaan doa sebelum makan ini adalah sebagaimana
dalam hadith berikut:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللهِ. فَإِنْ نَسِيَ فِي
أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ.

Apabila salah seorang di antara kamu makan maka katakanlah: Bismillah,
lalu apabila pada awalnya dia lupa maka katakanlah: Bismillah fi
awwalihi wa akhirihi. - Hadith riwayat al-Tirmidzi (no. 1858) dengan
sanad yang sahih. Diriwayatkan juga oleh Abu Daud dan Ibn Majah. Lihat
Shahih Abu Daud (no. 3768), Shahih Ibn Majah (no. 3264) dan Shahih
al-Jami’ (no. 1335).

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w mengajar Umar bin Abi
Salamah yang masih kecil:

يَاغُلاَمُ سَمِّ الله َوَكُلْ بِيَمِيْنِكَ.

Wahai budak lelaki, bacalah bismillah dan makanlah dengan tangan
kananmu. - Hadith riwayat al-Bukhari, no. 5376 dan Muslim (no.2022).



HADITH 7: DOA SELEPAS MAKAN


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِيْ.

Segala puji bagi ALLAH yang telah memberi kami makan dan minum dan
menjadikan kami termasuk kaum muslimin.

Penjelasan:

Hadis ini dha’if. Dikeluarkan oleh Ahmad (3/32), Abu Daud (no.3850),
al-Tirmdzi (no.3457), al-Nasa’i dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah
(no.289), Ibn Majah (no.3283) dan lain-lain. Ia memiliki jalan
periwayatan di mana setiapnya memiliki kelemahan di dalamnya. Syeikh
Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan telah mentakhrij jalan-jalan ini
dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad (no.11276) dan mereka tidak
menilainya saling menyokong hingga dapat diangkat darjatnya ke taraf
hasan li ghairihi.

Imam al-Nawawi mengemukakan doa ini dalam kitabnya, al-Adzkar (no.
698). Penyemak kitab, Syeikh ‘Amr bin ‘Ali Yasin telah mentakhrij lima
jalan periwayatan dengan setiapnya memiliki kecacatan. Beliau tidak
menilainya saling menyokong hingga dapat diangkatnya ke taraf hasan li
ghairihi.  Demikian juga, Syeikh Salim bin ‘Eid al-Hilali dalam
kitabnya Shahih Kitab al-Adzkar wa Dha’ifuhu (no.654) turut menyatakan
kelemahan riwayat ini. Beliau menerangkan:

“Saya berkata, hadith ini bersanad dha’if kerana di dalamnya para
perawi mengalami idhthirab sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Nasa’i
di dalam kitab ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, ms. 265, al-Hafiz al-Mizzi
di dalam kitab Tahdzib al-Kamal (3/41-42 dan 92) dan diakui oleh
al-Hafiz di dalam kitab Tahdzib al-Tahdzib (1/282). Al-Hafiz
al-Dzahabi di dalam kitab al-Mizan al-I’tidal (1/228) mengatakan:
“Ismail bin Riyah al-Sulami  adalah seorang yang menyerupai tabi’in,
yang mana saya tidak mengetahui siapa dia.” Untuknya Abu Daud pernah
meriwayatkan dan darinya Abu Hasyim al-Rumani meriwayatkan seorang
diri dan hadithnya mudhtharib. Dan Riyah adalah Ibn Ubaidah, mengenai
dirinya kurang diketahui. Abu Hasyim meriwayatkan dari Ismail bin
Riyah dari ayahnya atau dari lainnya, dari ayahnya bahawa Nabi s.a.w
jika selesai dari makannya, baginda mengucapkan: “Segala puji bagi
ALLAH yang telah memberi kami makan dan minum dan menjadikan kami
termasuk kaum muslimin,” hadith ini gharib munkar. Dan Hadith ini sama
seperti yang dikemukakan oleh para imam bahawa di dalamnya terdapat
idhthirab dan ketidakjelasan.”

Selain itu, sila rujuk Dha’if Sunan Abu Daud (no. 3850), Dha’if Sunan
at-Tirmidzi (no. 3457), Mukhtashar al-Syama’il al-Muhammadiyyah li
at-Tirmidzi (no. 163), Dha’if Sunan Ibn Majah (no. 3346), semuanya
oleh Syeikh al-Albani.

Adapun yang shahih berkenaan doa selepas makan ini adalah sebagaimana
dalam hadis berikut:

الْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيْهِ غَيْرَ
مَكْفِيٍّ وَلاَ مُوَدَّعٍ وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا.

Segala puji bagi ALLAH (dengan pujian) yang sebanyak-banyaknya,
sebaik-baiknya dan penuh keberkatan padanya tanpa berkesudahan, tanpa
ditinggalkan, tanpa diabaikan, wahai TUHAN kami.”  - Hadith riwayat
al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari (no. 5458).



HADITH 8: MEMBACA SURAH YASIN APABILA MEMASUKI TANAH PERKUBURAN

مَنْ دَخَلَ الْمَقَابِرَ، فَقَرَأَ سُوْرَةَ (يس) خَفَّفَ عَنْهُمْ
يَوْمَئِذٍ، وَكَانَ لَهُ بِعَدَدِ مَنْ فِيْهَا حَسَنَاتٌ.

Barangsiapa memasuki perkuburan kemudian membaca surah Yasin maka
diringankan pada hari itu segala beban mereka (ahli kubur) dan baginya
kebaikan sejumlah orang yang ada dalam perkuburan itu.

Keterangan:

Hadith ini maudhu’ (palsu).Dikeluarkan oleh al-Tsa’labi dalam Tafsir
(3/161/2) dengan jalur sanad dari Muhammad bin Ahmad al-Riyahi: telah
memberitakan kepada kami ayah kami, memberitakan kepada kami Ayyub bin
Mudrik, dari Abi Ubaidah, dari al-Hasan, dari Anas bin Malik, secara
marfu’'. Syeikh al-Albani menjelaskan dalam Silsilah al-Ahadith
al-Dha’ifah wa al-Maudhu’a (no.1246):

“Menurut saya, sanad (hadith) ini gelap, rosak dan berendangan
kelemahannya. Pertama, Abu Ubaidah dinyatakan oleh Ibn Mu’in sebagai
perawi misterius. Kedua, Ayyub bin Mudrik disepakati oleh pakar hadith
sebagai perawi dha’if. Bahkan, Ibn Mu’in menyatakannya sebagai perawi
pendusta. Ibn Hibban mengatakan bahawa ia telah meriwayatkan lembaran
palsu dari Makhul, namun ia belum pernah melihatnya. Menurut saya,
dialah penyakit hadith ini. Ketiga, Ahmad al-Riyahi yang sebenarnya
adalah Ahmad bin Yazid bin Dinar Abul Awam. Dikatakan oleh al-Baihaqi:
“Dia perawi misterius, seperti ditegaskan dalam al-Lisan.”

Adapun puteranya, Muhammad, adalah perawi yang benar pemberitaannya.
Otobiografinya disebutkan di dalam Tarikh al-Baghdad (1/372). Al-Hafiz
al-Sakhawi mengatakan dalam al-Fatawa al-Hadithiyah (1/19): “Telah
meriwayatkannya Abu Bakar Abdul Aziz sahabatnya al-Khallal dengan
sanad dari Anas secara marfu’, seperti disebutkan di dalam Juz’u
Washulu al-Qira’ati ilal Mayyit karya Syeikh Muhammad bin Ibrahim
al-Maqdisi. Kemudian disebutkan di dalam al-Syafi’i karya Abi Bakar
Abdul Aziz, sahabat al-Khallal al-Hambali, seperti yang dinisbahkan
kepadanya oleh Syeikh al-Maqdisi, yang saya anggap tidaklah shahih.”

Menurut saya, kalau saja mereka mendapati sanadnya secara tepat,
pastilah mereka menetapkan dengan penuh kepastian akan ketidakshahihan
sanad dan riwayat itu. Kami bersyukur kepada ALLAH kerana telah
menganugerahi pengetahuan sehingga dapat mengenali kelemahan riwayat
tersebut. Saya menjumpai hadith serupa diriwayatkan dengan redaksi
yang maudhu’

No comments:

Post a Comment

Mereka Pun Berbicara